Monday 26 June 2017

PUNCA - PUNCA JEREBU

               PUNCA - PUNCA JEREBU                

               
                 Sejak akhir-akhir ini, negara kita kerap dilanda jerebu. Jerebu ini telah menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan rakyat. Dalam masa yang sama, kegiatan ekonomi negara turut terjejas terutama industri pelancongan apabila banyak pelancongan asing membatalkan rancangan untuk bercuti di negara kita. Dengan itu, punca-punca berlakunya jerebu harus dikaji supaya mudah diambil usaha untuk menanganinya.

                 Antara punca berlakunya jerebu ialah pembakaran hutan secara terbuka. Terdapat sesetengah pengusaha ladang yang sengaja membakar hutan sebelum kawasan tersebutdijadikan ladang. Kaedah ini sering dipilih oleh pengusaha kerana kaedah ini menjimatkan wang, cepat, dan baik untuk kesuburan tanah. Namun begitu, kaedah ini menyebabkan asap terbebas ke udara sehingga menjejaskan kualiti udara.

                Selain itu, jerebu berlaku kerana semakin banyak kilang yang beroperasi di negara kita. Pembukaan kilang-kilang ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing menanam modal di negara ini. Kilang-kilang yang dibuka ini mengeluarkan asap yang banyak kerana pengusaha kilang tidak membina serombong yang tinggi untuk melepaskan asap jauh ke angkasa. Malahan, asap tersebut juga tidak dirawat sebelum dilepaskan ke angkasa. Dengan itu, indeks pencemaran udara menunjukkan kadar jerebu tinggi di kawasan perindustrian seperti di Tasek, Perak dan Pasir Gudang, Johor.

                Pada masa ini, jutaan kenderaan bergerak di jalan raya di negara kita. Peningkatan taraf hidup serta keperluan yang mendesak menyebabkan permintaan terhadap kenderaan semakin meningkat. Walaupun, teknologi pembuatan kereta pada masa ini bersifat mesra alam, tetapi bilangan kenderaan lama serta banyaknya kenderaan komersial yang melepaskan asap hitam ke udara menyebabkan masalah jerebu kian buruk.

                Di samping itu, jerebu juga berlaku kerana terdapat sesetengah tapak pelupusan sampah yang menggunakan kaedah pembakaran untuk melupuskan sampah. Kaedah ini walaupun mudah dan menjimatkan tetapi memberikan kesan yang besar terhadap jerebu kerana asap yang dilepaskan daripada tapak pelupusan sampah biasanya sukar terurai udara kerana terdapat pelbagai jenis sampah yang dibakar.

                Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan jerebu berlaku. Dengan itu, semua pihak harus berganding bahu untuk menangani masalah jerebu bagi mengelakkan komplikasi buruk terhadap kesejahteraan rakyat. Janganlah nanti, sudah terhantuk baru tengadah.



Terima Kasih !!!