Sunday, 16 July 2017

Kebaikan Mengadakan Rumah Terbuka Malaysia

          Rumah Terbuka Malaysia yang sudah beberapa tahun diadakan mempunyai konsep atau makna yang unik sekali.Rumah terbuka ini tidak kedapatan di negara-negara lain,  sebaliknya hanya di Malaysia. Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia lebih mementingkan perpaduan antara kaum, mencari persefahaman dan mengukuhkan pengetahuan tentang kaum-kaum di Malaysia. Tidak dinafikan juga bahawa rumah terbuka ini diadakan untuk menjalin hubungan yamg lebih baik dan menambahkan kemesraan antara kaum.

          Memandangkan kepentingan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara kita,  tradisi rumah terbuka ini akan diteruskan bagi membolehkan setiap perayaan yamg disambut oleh setiap kaum dapat diraikan bersama-sama oleh semua lapisan masyarakat. Meraikan bersama-sama sesuatu perayaan menjadi lambang kepada sikap toleransi dalam kalangan masyarakat, di samping memperkukuh persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.  Semangat perpaduan ini membawa kepada pembangunan negara kerana sikap saling menghormati antara kaum merupakan  aset yang penting untuk mencapai kecemerlangan negara.

          Hakikatnya,  Rumah Terbuka Malaysia turut menjadi daya tarikan pelancong luar kerana mereka dapat menyaksikan keakraban dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara kita. Meraka berasa kagum kerana dapat melihat pelbagai rumpun bangsa dan budaya hidup bersatu dan bersama-sama menyambut hari perayaan. Lantaran itu,  tidak hairanlah jika keunikan budaya masyarakat Malaysia menjadi bekalan atau buah tangan yang boleh dibawah pulang ke negara mereka, seterusnya mendorong keluarga, saudara-mara atau rakan-rakan mereka yang lain tertarik untuk datang ke Malaysia.

          Sepanjang sambutan Rumah Terbuka Malaysia ini berlangsung, pelbagai media asing jemputan khas turut diundang sama ada untuk membuat liputan atau meraikan sambutan tersebut.  Secara tidak langsung, situasi ini membolehkan nama negara kita menjadi harum pada peringkat antarabangsa.

          Hakikatnya, sambutan Rumah Terbuka Malaysia ini perlu diteruskan kerana dapat menjamin kesejahteraan negara. Meskipun terdapat pelbagai kaum dan etnik di Malaysia, atas dasar kejujuran yang telah sekian lama disema dalam jiwa penduduknya,  maka semua kaum dapat menyesuaikan diri dengan adat resam dan budaya yang berbeza. Perpaduan kaum di negara ini merupakan satu kenyataan yang tidak dapat dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Kerjasama dan hubungan erat antara semua kaum menjadi bukti bahawa segala bentuk aktiviti yang dijalankan bersama dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

No comments:

Post a Comment