Sunday 16 July 2017

Tujuan Penubuhan Kedai Rakyat


          Cadangan untuk menubuhkan kedai rakyat perlu diberikan perhatian kerana penubuhannya banyak mempunyai kelebihan. Sebelum ini, telah terdapat pelbagai jenis kedai yang diuruskan oleh kerajaan seperti kedai harga patut, iaitu kedai yang menjual barangan dengan harga yang murah berbanding dengan harga barangan di kedai-kedai biasa. Kedai rakyat boleh diuruskan oleh kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau mengenal pasti peniaga yang mempunyai rekod yang baik untuk dilantik sebagai pengurus. Kedudukan kedai rakyat mestilah strategik dan mudah dikunjungi oleh setiap lapisan masyarakat.

          Rakyat boleh memanfaatkan kedai rakyat yang menyediakan barangan keperluan dengan menawarkan harga yang murah dan terkawal dengan sepenuhnya. Paling penting, kedai rakyat tidak semestinya mementingkan keuntungan semata-mata. Sebaliknya, kedai rakyat mestilah mengutamakan kebajikan rakyat. Rakyat diberikan pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan dengan kemampuan yang ada. Kedai rakyat juga akan menjadi model kepada premis-premis lain supaya pemilik kedai-kedai tersenut tidak terlalu rakus dalam mengejar keuntungan semata-mata. Peniaga perlu ada tanggungjawab sosial dengan menawarkan perkhidmatan yang standing dengan nilai harga. Oleh itu, pekedai tidak boleh mengambil kesempatan dengan permasalahan semasa untuk menaikkan harga tanpa alasan yang kukuh.

          Kedai rakyat juga akan menjadi tempat rujukan utama masyarakat tentang hal-hal kepenggunaan serta kualiti barang. Kewujudan kedai rakyat di setiap daerah akan memudahkan orang ramai membuat perbandingan harga dengan harga sebenar yang ditetapkan oleh KPDNHEP sendiri. Perkara inilah yang menjadi fokus dan objektif utama cadangan pembukaan kedai rakyat ini. Orang ramai atau pengguna mesti dididik secara langsung di premis perniagaan tentang hak dan kuasa mereka sebagai pengguna. Cara ini adalah lebih menarik dan berkesan, di samping peranan yang dimainkan saluran media massa yang lain.

          Sekiranya barang di kedai rakyat dijual pada tahap yang lebih rendah, kita yakin bahawa pengguna tidak akan beralih arah ke kedai lain. Dalam pada itu, peniaga lain akan memikirkan cara atau kaedah baharu untuk memastikan pelanggan tidak lari daripada mengunjungi kedai mereka. Pengguna akan terdorong untuk memilih kedai yang disediakan kerajaan kerana khidmat dan rekod kerajaan amat cemerlang dalam hal-hal kebajikan untuk rakyat. Kewujudan kedai rakyat ini akan menjadikan negara kita unik dalam aspek penyediaan perkhidmatan kepada rakyat. Walaupun agak pelik kerana kita sudah sebati dengan golongan peniaga yang ada kuasa dalam menawarkan barang-barang keperluan harian kepada pengguna. Namun untuk kebaikan dan langkah meringankan beban rakyat, usaha ini patut dimulakan. Kedai rakyat juga mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat di negara ini. 

No comments:

Post a Comment