Sunday 16 July 2017

Kempen Menanam Pokok Bunga Di Kawasan Sekolah

Ceritakan pengalaman menyertai kempen menanam pokok bunga di kawasan sekolah.



          Baru-baru ini sekolah kami telah menganjurkan satu kempen menanam pokok-pokok bunga di kawasan sekolah. Pihak sekolah menggalakkan semua pelajar agar menyahut seruan kempen ini. Setelah memperoleh keizinan daripada ibu dan bapa, aku dan beberapa orang rakan telah menyertai kempen menanam pokok bunga ini.

          Guru bertugas telah membahagikan kami kepada beberapa kumpulan kecil. Kemudian, setiap kumpulan diberikan tugas yang spesifik. Kumpulan kami ditugaskan untuk menebas lalang dan mencabut rerumput di belakang dewan sekolah. Selepas beberapa minit berlalu, barulah saya sedar bahawa bukanlah senang untuk mencabut rumput. Selain memerlukan tenaga yang kuat, kami terpaksa berhati-hati agar tidak tercedera oleh duri atau benda tajam yang lain.

          Selain itu, kerjasama antara satu sama lain juga penting. Tanpa kerjasama tidak mungkin aku seorang diri dapat membersihkan satu kawasan yang begitu luas. Kami berhenti beristirahat sebaik sahaja berasa penat. Seluruh badanku basah kuyup dengan peluh.

          Selepas semua lalang dan rumput ditebas dan dicabut, kami mula membuang segala benda yang tidak berguna dari kawasan yang bakal kami tanam dengan pokok-pokok bunga. Setelah berpuas hati dengan kebersihan kawasan sekitarnya, kami pula melonggarakan tanah dengan menggunakan cangkul.

          Mencangkul tanah merupakan satu kerja yang sangat berat. Namun, kami masih bekerja dalam keadaan riang. Kemudian kumpulan pelajar yang lain mula mencucuk batang pokok bunga kertas, batang pokok bunga raya, benih bunga matahari dan bermacam-macam benih pokok bunga yang lain. Beberapa orang pelajar pula datang menyiram air.

          Kami bertungkus-lumus sepanjang petang dalam menjayakan kempen menanam pokok-pokok bunga ini. Pihak sekolah telah menyediakan minuman ringan untuk menghilangkan dahaga kami. Semasa dalam perjalanan pulang, aku dapat bayangkan beberapa minggu yang akan datang sekolahku akan menjadi cantik dan ceria.

No comments:

Post a Comment